DEFINISI
TEROMBA berasal dari meningkabau iaitu TAMBO. Teromba sebagai alat komunikasi dalam adat melayu adalah peristiwa penting yang mempunyai peranan kompleks dan ia adalah gelanggang untuk anggota masyarakat berkumpul, berjumpa kawan-kawan membuat janji mengadakan perbincangan kecil tentang kerja-kerja harian dan tempat anak muda berkenalan. Di situlah juga ilmu- ilmu dan pengetahuan tentang seri komunikasi warisan teromba diwariskan. Seni komunikasi teromba dalam kumpulan kecil dalam kalangan ahli keluarga pula menjadi tempat untuk ahli keluarga bermesra dan mewariskan ajaran moral serta pelbagai ilmu, adat istiadat dan nasihat.Peranan kepimpinan adat adalah sangat penting dalam adat.
PENGERTIAN TEROMBA
Teromba sebagai seni komunikasi warisan lahir daripada budaya masyarakat melayu minangkabau yang menetap di negeri sembilan dan berpegang kepada adat perpatih. Masyarakat meningkabau cenderung menyatakan maksud secara tidak langsung. Dalam seni komunikasinya digunakan teromba yang sama-sama dimengerti maksudnya baik oleh penutur, mahupun penerima.Teromba ialah susunan undang-undang adat yang di sampaikan dalam bentuk puisi adat.
Bagi memberi panduan dan pengajaran mengenai cara hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang- undang yang dibentuk. seperti teromba berikut:
PUISI TEROMBA
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.
Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.
Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.
Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.
Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.
Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.
Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.
Adat bersendi hokum,
Hukum bersendi Kitab Allah
Maksud Puisi
Rangkap 1
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.
Ketika manusia berada di dunia, mereka setiasa terikat dengan adat atau tingkah laku yang biasa dilakukan setiap hari yang menjadi sebahagian budaya hidup. Segala ikatan peraturan adat akan luput apabila manusia sudah meninggal dunia. Ketika itu, manusia hanya dilingkungi oleh tanah sahaja.
Rangkap 2
Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang.
Adat yang diamalkan setiap hari adalah sesuai mengikut zaman dan sentiasa segar untuk diamalkan. Berbanding dengan pakaian seperti kain dan baju tentunya akan semakin lama, buruk dan tidak boleh dipakai sepanjang masa.
Rangkap 3
Yang elok dipakai,
Yang buruk dibuang.
Adat yang baik patut diamalkan oleh masyarakat namun jika adat (budaya) itu buruk dan bertentangan dengan nilai dan agama, ia patut ditinggalkan atau tidak boleh diamalkan.
Rangkap 4
Lembaga berlingkungan,
Undang kelintasan.
Lembaga bermaksud :
Dato' Lembaga adalah gelaran seorang pemimpin yang mengetuai sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Dato' Lembaga ini dipilih oleh para Buapak daripada beberapa Perut yang menjadi anggota sesuatu suku. Dato' Lembaga yang dilantik mestilah mendapat persetujuan daripada Undang atau Penghulu Luak. Tanggungjawab Dato' Lembaga meliputi hal ehwal anak buahnya di dalam suku yang diwakilinya. Ini termasuklah urusan harta pusaka dan pentadbiran tanah adat bagi anak-anak buahnya. Seseorang Dato' Lembaga itu boleh dipecat daripada jawatannya jika terbukti dia cuai atau bekelakuan yang tidak selayaknya.
Undang bermaksud:
Undang adalah jawatan ketua bagi sesuatu Luak di dalam masyarakat Adat Perpatih. Perlantikan Undang ini dilakukan oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesuatu luak itu. Di Negeri Sembilan kini adalah empat orang Undang yang mengetuai empat buah luak utama. Mereka ialah Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu.
Peranan dan kuasa ketua ( Lembaga dan Undang) dalam amalan adat sebenarnya mempunyai had dan batasan. Malah kawasan jajahan takluk pentadbiran mereka juga telah ditentukan oleh adat.
Rangkap 5
Duduk meraut ranjau,
Tegak meninjau jarah.
Ranjau = Daun kelapa yang dibuat lidi penyapu. Ia perlu diraut dengan pisau yang tajam.
Jarah = Musuh atau penjahat (penjarah). Musuh perlu ditinjau (perhatikan).
Menggambarkan peranan anggota masyarakat yang mengamalkan adat. Dalam semua aktiviti kehidupan, ahli masyarakat sebenarnya mempunyai peranan masing-masing tidak kira samada ketika duduk maupun berdiri
Rangkap 6
Ke darat Adat Perpatih,
Ke laut Adat Temenggung.
Walau dimana pun kita berada, kita akan terikat dengan adat tertentu seperti Adat Perpatih ketika berada di daratan, Manakala ketika berada di laut kita terikat dengan Adat Temenggung.
Rangkap 7
Ke laut berteromba,
Ke darat bersalasilah.
Teromba merupakan ungkapan berirama yang kelazimannya mengenai adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia merupakan sejenis puisi bebas yang mungkin mempunyai bentuk lain seperti pantun, syair, rubai dan talibun tetapi isi dan fungsinya merujuk kepada satu bidang tetap, iaitu adat. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. dan dikatakan berasal daripada masyarakatMinangkabau (Minang: Tambo)
Salasilah keturunan atau Salasilah keluarga seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat manusia bertamadun. Menjejaki asal usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada hubungan silaturahim kaum kerabat; dan merapat dan mengekalkan hubungan silaturahim sangatlah dituntut dalam Islam.
Berteromba selalu dikaitkan dengan pengucapan beberapa amalan adat manakala bersalasilah selalunya berkait dengan amalan silaturrahim dan pembahagian harta pusaka.
Rangkap 8
Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi Kitab Allah
Amalan adat sebenarnya masih terikat (tertakluk) dengan hukum agama yang secara tidak langsung berkait dengan Kitab Allah iaitu Al-Quran.
STRUKTUR
Teromba tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada kata perbilangan. Teromba ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Begitu juga dengan rima dan jedanya.
FUNGSI
Bagi memberi panduan dan pengajaran mengenai cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang-undang yang dibentuk. Mengekalkan norma-norma yang tertentu di dalam masyarakat yang telah dipersetujui oleh anggota masyarakat itu sejak turun-temurun.
Ciri-ciri terombak
Teromba berbentuk bebas, tidak seperti pantun yang bentuknya terikat. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya juga tidak tetap. Rima akhir pada setiap barisnya juga tidak sama. Dalam teromba, diselitkan juga beberapa puisi Melayu lama yang lain seperti pantun, gurindam dan peribahasa. Teromba boleh didendangkan dengan pelbagai cara mengikut kreativiti sendiri. Dalam adat perpatih, teromba berfungsi sebagai pedoman atau peraturan hidup yang perlu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat sama ada raja, pemimpin dan rakyat jelata.

No comments:
Post a Comment